PPUM minta polis siasat pemandu Uber dipukul
Berminat ?? klik pada iklan ini

GEORGETOWN: Pertubuhan Pemandu Uber Malaysia (PPUM) meminta polis melakukan siasatan berhubung kes seorang pemandu Uber yang parah dipukul, selepas didakwa terbabit dalam cubaan mencabul seorang wanita di Lintang Paya Terubong, kelmarin. Presidennya, Suhaimi Said, berkata pihaknya memohon polis melakukan siasatan berhubung kes itu, untuk memastikan sama ada pemandu Uber berkenaan dianiaya atau sebaliknya. "Kami bersama pemandu Uber berkenaan sudah pun membuat laporan polis kerana kami difahamkan dia dianiaya dan polis kini terpaksa menahannya bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. "Kami kesal dengan tindakan orang ramai yang memukulnya sehingga parah tanpa siasat terlebih dahulu, selain itu pemandu Uber berkenaan turut menerima beberapa jahitan di bahagian muka, tangan dan badan," katanya ketika ditemui BH di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, malam tadi. Kelmarin, dalam video berdurasi empat minit 22 saat itu merakamkan pemandu Uber terbabit dipukul oleh sekumpulan lelaki selepas didakwa mencabul seorang wanita warga Vietnam. Dalam kejadian kira-kira jam 3.56 petang itu, pemandu terbabit yang mahu mengambil wanita terbabit di Lintang Paya Terubong, di sini, kemudian diserang dan dipukul oleh sekumpulan lelaki yang secara tiba-tiba menghalang kenderaannya. Bagaimanapun, mangsa dan wanita Vietnam berkenaan kini ditahan reman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.
Sumber : BH Online